
KEPALA BATAS, 17 Januari – Suami kepada pelakon Nadia Kesuma merayu kepada kerajaan agar mempercepat usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi proses pencarian isterinya yang dilaporkan hilang sejak 14 Januari lepas.
- Suami merayu kerajaan percepat usaha diplomatik dengan Arab Saudi untuk mencari isterinya yang hilang sejak 14 Januari.
- Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah memberi panduan; keluarga dinasihat kekal di Malaysia untuk elak gangguan siasatan.
- Telefon isteri dikesan di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz; bateri semakin lemah dan beliau dilaporkan tidak menaiki penerbangan seterusnya.
Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkata, kehilangan isterinya yang memasuki hari keempat masih kekal menjadi misteri.
Beliau merayu agar tindakan pantas diambil pihak berautoriti bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk berlaku.
“Kerajaan Malaysia perlu membantu. Saya memohon bantuan mana-mana menteri yang berkaitan untuk membantu kami. Saya ini bukan sesiapa, pada asasnya saya hanyalah orang biasa.
“Tetapi saya percaya jika menteri atau Kerajaan Malaysia campur tangan, berat keputusan itu akan menjadi lebih kukuh dan prosesnya juga lebih cepat.
Mungkin jika kami yang bercakap, ia akan mengambil masa dua hingga tiga hari. Tetapi jika menteri yang bercakap, mereka boleh terus membuat panggilan dan menghubungi rakan sejawat mereka, mungkin hanya mengambil masa dua hingga tiga minit sahaja.
“Sebab itulah masa merupakan faktor yang sangat penting”, katanya kepada media di kediamannya di Kepala Batas.
Menurutnya, ahli keluarga telah membuat laporan kepada Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah, yang kini memberi panduan berkaitan tindakan lanjut.
Buat masa ini, beliau dinasihatkan supaya kekal berada di Malaysia bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan, selain kekangan bahasa kerana tidak fasih berbahasa Arab.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sentiasa bersedia untuk berlepas ke Jeddah pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Mengulas tabiat isterinya, Muhammad Kamarul berkata Nadia seorang yang gemar mengembara dan kebiasaannya akan memaklumkan lokasi kepada keluarga sebaik tiba di sesebuah negara.
Namun kali ini, Nadia gagal dihubungi selepas dilaporkan tidak menaiki penerbangan seterusnya dari Jeddah.
Beliau turut memaklumkan aplikasi penjejak menunjukkan telefon bimbit isterinya masih berada di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, namun tahap bateri semakin lemah.
Terdahulu, media melaporkan Nadiah Kasumawati Abdul Karim, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan hilang selepas tiba di Jeddah.
Nadia menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan
bersama 21 jemaah lain dari 14 hingga 28 Januari ini.