fb fb fb fb fb

Suami isteri sayu terima diploma arwah anak

Foto RTM

KOTA BHARU, 18 Ogos - Sepasang suami isteri terharu dan sedih ketika mewakili arwah anak mereka menerima sijil diploma pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-37 di Kok Lanas, di sini hari ini.

Muhammad Hilmi Halim berkata, dia dan isterinya, Maznah Abdullah yang mewakili arwah anaknya, Arif Afandi Muhammad Hilmi hanya mampu berkongsi perasaan itu selain bangga dengan pencapaian arwah.

Muhammad Hilmi berkata, anaknya meninggal dunia di Hospital Melaka pada 10 Julai 2023 akibat jangkitan kuman di otak.

Katanya, sebelum kejadian, anaknya yang sedang menjalani latihan praktikal sebuah kilang automotif di Melaka dibawa ke hospital Alor Gajah bagi pemeriksaan kerana arwah sering mengadu kekejangan kaki.

Namun katanya, anaknya dirujuk ke hospital Melaka dan meninggal dunia di hospital tersebut.

"Rasa terharu dan sedihlah, sepatut dia (Allahyarham) yang terima tetapi sudah takdir kita redha lah," kata Hilmi kepada pemberita, di sini,

Sementara itu seorang lagi bapa, Abdul Karim Abdul Rahman turut berbangga dengan pencapaian yang diperolehi arwah anaknya, Muhammad Zul Fathi Abdul Karim yang memperoleh sijil diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).

Katanya, anak kelima daripada tujuh beradik itu meninggal ketika tidur di rumahnya dan disahkan doktor mengalami pendarahan dalam kepala.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak Politeknik Kota Bharu kerana menjemputnya walaupun anaknya sudah tiada.

Seramai 1,498 graduan dari Politeknik Kota Bharu dan Kolej Komuniti Negeri Kelantan diraikan dalam satu majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

TETITIA YUSOFF