Stesen radio RTM perluas jaringan menerusi kolaborasi ASEAN

Stesen Radio RTM mengorak langkah memperkukuh diplomasi penyiaran menerusi sasaran kolaborasi strategik bersama stesen-stesen radio di seluruh rantau ASEAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Stesen Radio RTM mengorak langkah memperkukuh diplomasi penyiaran menerusi sasaran kolaborasi strategik bersama stesen-stesen radio di seluruh rantau ASEAN pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif kolaborasi RTM memartabatkan seni dan budaya serumpun serta mengeratkan hubungan diplomatik; kesinambungan kerjasama dengan RRI dan RTB.
  • Program 'NASIONALfm Ambil Tahu' proaktif menyantuni kira-kira 60 petugas barisan hadapan dan mengiktiraf peranan 'unsung heroes'.
  • NASIONALfm bergerak ke arah 'Next Level Unlimited' untuk kekal relevan sebagai penyampai maklumat sahih dan 'RTM Teman Setia Anda'.

Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata, inisiatif tersebut merupakan platform terbaik bagi memartabatkan seni warisan dan budaya serumpun, sekali gus mengeratkan hubungan diplomatik antara negara serantau.

Menurut beliau, perancangan itu adalah kesinambungan daripada kejayaan kerjasama yang telah dilaksanakan sebelum ini bersama Radio Republik Indonesia (RRI) dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

“Kita mahu memperluas jaringan ini ke peringkat ASEAN bagi memastikan budaya dan warisan kita dapat dikongsi secara bersama. Selain pengisian seni, ia adalah medium terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara negara jiran melalui peranan radio RTM dan stesen luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis NASIONALfm Ambil Tahu: Showcase Raya Next Level Unlimited 2026, di sini hari ini.

Seiring dengan visi memperkasa peranan radio, NASIONALfm terus proaktif mendekati masyarakat menerusi program ‘NASIONALfm Ambil Tahu’ yang menghimpunkan kira-kira 60 petugas barisan hadapan.

Pengurus NASIONALfm, Salbiah Mohd Sharif berkata, program kali ini memberi kelainan dengan memberi tumpuan kepada golongan ‘unsung heroes’ yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), petugas kesihatan serta warga pendidik.

“Berbeza dengan tahun sebelumnya yang memfokuskan kepada golongan asnaf dan anak yatim, tahun ini NASIONALfm memilih untuk menyantuni petugas barisan hadapan bagi memastikan mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri meskipun terpaksa bertugas,” jelas beliau.

Mengulas mengenai hala tuju stesen, Salbiah menegaskan NASIONALfm kini bergerak ke arah ‘Next Level Unlimited’ bagi memastikan stesen itu kekal relevan sebagai penyampai maklumat sahih dan pendamping setia rakyat menerusi tagline ‘RTM Teman Setia Anda’.