KANGAR, 26 Mac - Pendekatan lebih segar sedia dibawa RTM menerusi stesen-stesen radio bagi menarik minat pendengar muda.
Serentak dengan keperluan itu, program baharu telah disusun agar stesen radio RTM menjadi pilihan setanding stesen radio swasta.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Datuk Saidatu Akhma Hassan berkata kebergantungan remaja untuk mendapat maklumat terkini menerusi media sosial adalah tinggi.
"Kita sepatutnya melihat apa perkembangan terkini dari segi kandungan radio dan kita boleh menyusun semula walaupun akan tertakluk kepada beberapa etika kerana kita adalah radio penyiar rasmi kerajaan.
"Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh menyusun atur, mengambil apa yang kita rasa boleh menarik minat pendengar, ini adalah kreativiti," katanya.
(Saidatu Akhma Hassan)
Beliau menyatakan demikian selepas menyertai kayuhan ‘Jelajah RTM Kami Prihatin’ sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di sini.
Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia PUSPANITA.