fb fb fb fb fb

Status akidah pengikut GISBH, MKI serah laporan kepada Majlis Raja-Raja

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 September- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan kertas laporan dan menyerahkan kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk memutuskan status akidah pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, keputusan yang bakal dibuat MKI akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja, bulan depan.

“Satu kertas khas yang disediakan oleh JAKIM berkaitan dengan GISBH akan dibentangkan pada jawatankuasa ini esok hingga 26 September di Terengganu. Jawatankuasa ini akan memutuskan tentang GISBH,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohd Na’im, keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu, mengenai MTHQA ke-64 yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI", Mohd Na’im berkata 92 peserta dari 71 negara akan menyertai pertandingan itu yang akan diadakan selama lapan hari bermula 5 Oktober depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau berkata 53 peserta terdiri daripada 39 lelaki dan 14 wanita dari 41 negara menyertai tilawah manakala peserta hafazan sebanyak 39 orang, melibatkan 26 lelaki dan 13 wanita dari 30 negara.

“Malaysia menghantar empat peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu, sementara hafazan pula diwakili Muhammad Rifae'i Mat Zuki (Kedah) dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan),” katanya.

Tambahnya, MTHQA kali ini akan dihakimi oleh 20 orang hakim dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain.

Beliau berkata Perasmian dan Pembukaan MTHQA ke-64 itu nanti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober (Sabtu) pukul 8.55 malam.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada 12 Oktober pukul 8.55 malam,” katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI