SHAH ALAM, 16 Julai - Kerajaan negeri Selangor memutuskan Stadium Shah Alam yang berusia hampir 30 tahun dan kawasan sekitarnya memerlukan satu pembaharuan dan berwajah baharu.
Stadium Shah Alam baharu itu akan diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam dengan kapasiti sekitar 60,000 hingga 70,000 penonton.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan mengadakan pembangunan baharu sukan dan fasiliti itu diambil selepas melakukan pertimbangan teliti sejak tahun 2013.
"Kerajaan negeri menyedari maklum balas orang ramai mengenai Stadium Shah Alam, ada yang mahu kerajaan negeri membaiki kemudahan sukan ini dan mengembalikan zaman kegemilangannya. Ada juga yang merasakan bahawa kita harus membina semula dengan kemudahan moden dan memberikan nafas baharu kepada stadium ini. Setakat ini, segala cadangan dan pandangan telah diteliti dan akan dikemukakan kepada pemaju untuk dipertimbangkan," kata Amirudin di sini.
(Amirudin pada majlis penyerahan LOI Pembangunan
Kompleks Sukan Shah Alam antara Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim
kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan
di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat )
Kerajaan negeri telah melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasilti sukan sekitarnya dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.
Projek dijangka bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap pada tahun 2026 itu, seiring dengan pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 berhampiran kawasan kompleks berkenaan.