KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Salah sebuah sekolah tertua dan berprestij di Malaysia, St. John’s Institution meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-120 tahun ini.
Ia sekali gus menandakan lebih satu abad dalam membentuk generasi pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam nilai-nilai kepimpinan dan kemanusiaan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1904, sekolah ikonik ini telah melahirkan ramai tokoh terkemuka negara antaranya, termasuk bekas Perdana bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, figura seni seperti pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac.
Malahan, alumni diraja seperti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut pernah menimba ilmu di sekolah berkenaan.
Sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-120, satu Majlis Makan Malam Gala Diraja akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 19 Oktober.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka berangkat ke majlis tersebut, yang akan menghimpunkan alumni dari pelbagai generasi, bermula dari era 1960-an hingga kini, bagi mempereratkan hubungan serta memberi sumbangan kepada kegemilangan semula sekolah yang penuh bersejarah.
Terdahulu, acara ‘Homecoming’ diadakan pada 24 Ogos di Stadium Merdeka.
Acara tersebut turut memberi penghormatan kepada Leftenan Muda Denis Malcolm Doss, bekas Bandmaster sekolah yang berperanan penting membina legasi pasukan Pancaragam St. John’s.
St. John’s Institution terus mengekalkan komitmen tinggi terhadap pendidikan berkualiti meskipun telah melalui pelbagai perubahan dan cabaran sejak era penjajahan dan pasca kemerdekaan.
Legasi St. John’s Institution kekal kukuh berteraskan prinsip pendidikan berintegriti dan nilai-nilai moral yang luhur, menjadikannya salah satu institusi pendidikan yang terus dihormati di Malaysia.