fb fb fb fb fb

SST 8%, peniaga diingat tidak menaikkan harga barang sesuka hati - KPDN

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan

BUKIT MERTAJAM, 4 Mac- Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang ke atas sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Pengarahnya, S. Jegan berkata pemantauan Ops Kesan yang dijalankan pihaknya sejak empat hari lalu, mendapati rata-rata peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati.

Bagaimanapun, beliau mahu semua pengguna ambil tahu mengenai sektor yang terlibat dan tidak terlibat dengan kenaikan dua peratus SST seperti makanan dan minuman supaya tidak tertipu.

Peniaga juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang susulan kenaikan SST itu.

"Setakat ini, kita tidak terima sebarang aduan sejak kenaikan cukai SST yang berkuat kuasa 1 Mac lalu. Kita cuba kesan jika ada peniaga-peniaga yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai SST ini menaikkan harga."

"Kita lihat di negeri lain juga, ada yang kenakan sehingga 10% tetapi setakat ini, tidak terjadi lagi di Pulau Pinang. Kita ada pasukan khas yang akan urus dan pantau perkara ini agar tiada mana-mana pihak akan mengambil kesempatan susulan kenaikan cas SST," kata S. Jegan kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah ‘Kembali Ke Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang di AEON Big di Seberang Jaya.

Tambahnya, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi kementerian bagi membolehkan siasatan dilakukan serta tindakan lanjut diambil.

Ia ekoran peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya dikesan menaikkan harga sesuka hati.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM