
PUTRAJAYA, 22 Januari – Penjawat awam menzahirkan rasa syukur terhadap pelaksanaan kenaikan gaji Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
- Penaikan gaji Fasa 2 SSPA memberi manfaat kewangan dan mengurangkan beban kos sara hidup penjawat awam.
- Kenaikan tujuh peratus untuk 2026 membantu meningkatkan simpanan, pelaburan dan perlindungan insurans.
- Impak positif terhadap perancangan kewangan peribadi, termasuk persediaan perkahwinan dan golongan bujang.
- Pelarasan gaji keseluruhan: 15% bagi pelaksana dan pengurusan/profesional, serta 7% bagi pengurusan tertinggi.
Inisiatif itu dilihat mampu meringankan beban kewangan dan membantu menangani kos sara hidup golongan itu.
Erra Ezka Khir Johari menyifatkan kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus bagi tahun 2026 sebagai satu langkah positif yang memberi manfaat besar kepada penjawat awam.
“Kenaikan ini membantu kami meningkatkan simpanan dan pelaburan, selain membolehkan kami menambah perlindungan insurans serta mengurangkan hutang sedia ada,” katanya.
Bagi Jazzmi Shah Daud Maidin pula, kenaikan gaji itu memberi kelegaan terutama kepada golongan bujang, sekali gus membantu dalam perancangan kewangan jangka panjang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana memberi kenaikan gaji kali kedua ini. Ia sedikit sebanyak membantu memperkukuh kedudukan kewangan kami,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Mohd Hakim berkata, kenaikan gaji Fasa 2 memberi impak positif terhadap kewangan dan produktivitinya, khususnya dalam membuat persiapan untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Kenaikan ini amat melegakan dan sedikit sebanyak membantu saya dari segi kewangan. Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Muhammad Alfarizal pula berpandangan bahawa pelaksanaan kenaikan gaji berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada penjawat awam, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kenaikan ini memberikan motivasi besar kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih baik,” katanya.
Pelarasan gaji berperingkat di bawah SSPA Fasa 1 telah dilaksanakan pada Disember 2024.
Secara keseluruhan penjawat awam menerima lonjakan gaji 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.