SPRM perketat penguatkuasaan, sasar kutip RM10 billion

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 22 Januari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyasarkan kutipan sebanyak RM10 bilion hasil aktiviti penyelewengan dan ketirisan wang negara sepanjang tahun ini menerusi Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM fokus pulihkan wang rakyat hasil penyelewengan dan ketirisan melalui tindakan penguatkuasaan terancang.
  • Penekanan pada siasatan penyeludupan dan semakan aktiviti lama untuk nilai kerugian sebenar.
  • Penguatkuasaan sempadan, kebocoran penyeludupan, penerokaan hutan dan pentadbiran perlu diberi tumpuan negeri.
  • Langkah penguatkuasaan dilaksanakan walaupun tidak popular demi kepentingan negara dan pulangan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua agensi penguatkuasaan perlu memberi fokus untuk mendapatkan semula wang yang hilang, khususnya melibatkan kegiatan penyeludupan yang menyebabkan ketirisan hasil cukai.

Menurut beliau, siasatan bukan hanya tertumpu kepada rampasan semasa, sebaliknya turut melibatkan semakan aktiviti penyeludupan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu bagi menilai kerugian sebenar.

“Di luar sana pelbagai kegiatan jenayah seperti sindiket penipuan, penyeludupan dan lari daripada cukai berlaku, dan wang ini perlu di kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini hari ini.

Dalam tempoh 2023 hingga 2024, sebanyak RM15.5 bilion berjaya dikutip hasil tindakan terhadap penyelewengan dan ketirisan melalui MATF.

Berikutan itu, Azam menyarankan agar pengarah SPRM di peringkat negeri memberi tumpuan kepada isu semasa mengikut negeri masing-masing termasuk penguatkuasaan sempadan, kebocoran penyeludupan, penerokaan hutan dan aspek pentadbiran.

“Langkah penguatkuasaan perlu dilaksanakan walaupun tidak disenangi sesetengah pihak kerana menjadi tanggungjawab SPRM memastikan aktiviti rasuah dan penyelewengan ditangani dengan berkesan demi kepentingan negara,” katanya.