fb fb fb fb fb

SPRM nafi wujud arahan tutup siasatan individu tertentu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 September- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan berkenaan suruhanjaya itu menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, laporan berita tidak tepat serta tidak berkredibiliti yang membuat tohmahan itu disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa.

"Untuk makluman, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh Suruhanjaya ini adalah 'without fear or favour', tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

"SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Suruhanjaya ini," katanya.

SPRM turut memaklumkan bahawa suruhanjaya itu idak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

"Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

"SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka," katanya lagi.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan berita yang cuba mengaitkan suruhanjaya itu untuk menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI