SPRM nafi dakwaan Azam Baki gagal isytihar harta

Dakwaan Tan Sri Azam Baki gagal isytihar harta tidak benar – SPRM/Foto RTM

PUTRAJAYA, 10 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki gagal membuat pengisytiharan harta seperti dilaporkan media antarabangsa baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menafikan dakwaan Azam Baki gagal isytihar harta, panggilan luar negara dianggap mengelirukan.
  • Agensi anggap laporan itu mengandungi tohmahan tidak berasas yang boleh menjejaskan reputasi pegawai.
  • Azam mematuhi keperluan pengisytiharan melalui saluran rasmi dan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia.
  • SPRM kekal komited terhadap amanah, integriti dan ketelusan, tidak akan berkompromi terhadap pelaporan tidak tepat.

Menurut kenyataan SPRM, laporan itu mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas yang boleh menjejaskan reputasi pegawai berkenaan dan imej agensi.

Pengisytiharan harta penjawat awam tertakluk kepada prosedur pentadbiran di bawah rangka kerja perkhidmatan awam dan dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

Tan Sri Azam mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta termasuk melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pengisytiharan itu meliputi sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham.

Dakwaan kononnya berlaku kegagalan pengisytiharan disifatkan tidak benar dan memberi gambaran mengelirukan terhadap kerangka integriti perkhidmatan awam.

SPRM menegaskan pihaknya kekal komited menegakkan amanah, integriti dan ketelusan serta tidak akan berkompromi terhadap cubaan menjejaskan kredibiliti agensi melalui pelaporan tidak tepat