SERI ISKANDAR, 9 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membekukan tiga akaun individu termasuk pendaftar perkahwinan di sebuah jabatan di Perlis.
Ia susulan siasatan kes rasuah sejumlah RM1.18 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya telah membuat permohonan pembekuan tersebut sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Setakat ini, hanya tiga tangkapan dibuat.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penglibatan pegawai peringkat tertinggi dalam skandal tersebut.
"Dalam siasatan ini, kami tiada keperluan untuk siasatan kenapa mereka bernikah atau berpoligami di negera Thailand tetapi yang pentingnya adalah mereka yang terlibat atau pasangan yang terlibat apabila balik ke Malaysia."
"Dalam kes ini, di Perlis telah mencari jalan mudah melalui Jabatan Agama Islam, ini untuk mendaftarkan pernikahan mereka dengan cara yang tidak mengikut prosedur dengan bayaran wang rasuah," kata Azam kepada pemberita di sini, hari ini.
Tempoh reman terhadap tiga lelaki yang berakhir hari ini, disambung tiga hari lagi untuk melengkapkan siasatan kes rasuah tersebut.
Sambungan reman sehingga 12 Jun terhadap pegawai jabatan kerajaan itu dan seorang pemilik syarikat bersama bapanya, masing-masing berusia lingkungan 40-an, 20-an dan 50-an dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Ahmad Hamdi Mustafar.
Rabu lepas, media melaporkan ketiga-tiga suspek direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.
Laporan itu menyebut suspek pertama yang merupakan pendaftar perkahwinan dipercayai menerima wang rasuah RM1.18 juta daripada pemilik syarikat tersebut untuk membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di jabatan agama di Perlis tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Suspek pertama itu dipercayai berurusan dengan pemilik syarikat itu menerusi bapanya yang bertindak sebagai orang tengah dan dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.