IPOH, 1 Disember-Sebanyak 23,000 Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai RM1.92 bilion telah berjaya dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sekaligus mengatasi sasaran menjelang tahun 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), SPNB telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.23 bilion untuk membina 15,000 unit RMR.
Jelasnya, SPNB turut menyasarkan untuk membina 5,400 unit RMR di seluruh negara tahun depan berbanding tahun ini.
"Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan telah menetapkan untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik.
"Tidak pernah ada seorang Perdana Menteri pernah capai. Tetapi saya yakin dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar ibrahim, saya yakin sasaran ini bukan sahaja boleh dicapai malah melepasi sasaran seperti SPNB", katanya demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada 45 pemilik Vila Idaman dan RMR sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT di Pinggiran Tanah Hitam, Chemor, di sini.
Tambahnya, bilangan rumah mampu milik yang tidak terjual sejak 2021 telah berkurangan sebanyak 40 peratus.
Ujarnya, sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara, kira-kira 13,000 unit daripada 37,000 rumah mampu milik telah berjaya dijual.