SHANGHAI, 27 Mei- Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digesa mempertimbangkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan mod pengajian di peringkat tinggi.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saranan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan negara mewujudkan tenaga kerja mahir.
Sektor TVET katanya menjanjikan gaji premium lebih menarik dan masa depan lebih cerah menerusi penawaran peluang pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.
"Namun, mereka yang tidak dapat semua A, dunia belum berakhir. Peluang pendidikan akademik terbuka luas tetapi yang lebih penting, negara kita memerlukan tenaga-tenaga berketerampilan atau pekerja-pekerja mahir."
"TVET adalah jawapannya. Kita sedang melaksanakan TVET sebagai pilihan utama pelajar dan ibu bapa telah mula memperlihatkan minat untuk menggalakkan anak-anak mereka mengikuti kursus TVET yang menjanjikan gaji premium, yang lebih menarik dan masa depan yang lebih cerah," kata Zahid kepada pemberita di Shanghai, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada lebih 11,000 lepasan SPM 2023 yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Sementara itu, tidak kira siapa pun calon dari mana-mana parti komponen dikemukakan Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) tetap menggerakkan jenteranya untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini, Kerajaan Perpaduan akan memperincikan mengenai calon yang sesuai untuk bertanding di kawasan DUN itu.
Kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap susulan kematian ADUNnya, Nor Zamri Latiff akibat mengalami keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu.