fb fb fb fb fb

SPM 2021: 9,696 calon cemerlang peroleh semua A

PUTRAJAYA, 16 Jun- Seramai 9,696 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid menjelaskan, ia sekali gus mencatat peningkatan berbanding 9,411 calon bagi tahun 2020.

Jelas beliau nilai Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih kecil membuktikan pencapaian calon yang lebih baik berbanding nilai yang dicatatkan pada SPM 2020.

"Sukacita saya maklumkan bahawa GPN bagi peperiksaan SPM 2021 adalah 4.86 mata, sebanyak 55.29% atau 211,334 calon lulus sekurang kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada SPM 2021," kata Nor Zamani.

Beliau yang menyatakannya dalam sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM di Putrajaya turut berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Katanya pencapaian keputusan SPM 2021 tidak wajar dibandingkan kerana calon ini merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Datuk Nor Zamani berkata calon SPM 2021 yang layak menerima sijil adalah 336,630 iaitu 88.09%.

Sementara itu, seramai 1,411 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK) telah menduduki peperiksaan SPM 2021.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69.10% CBK layak menerima sijil SPM 2021.

Secara keseluruhan, seramai 407,97 calon telah mendaftar di 3,382 buah pusat peperiksaan, menyaksikan pertambahan sebanyak 1.49% atau 5,992 calon berbanding SPM 2020 iaitu seramai 401,105 calon.

Peperiksaan SPM 2021 menawarkan sebanyak 95 mata pelajaran dengan jumlah kertas peperiksaan sebanyak 180.

Mata pelajaran tersebut merangkumi 27 mata pelajaran baharu dan 68 mata pelajaran sedia ada.

Di samping itu, calon SPM 2021 juga menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu, Ujian Lisan Bahasa Inggeris yang dijajarkan dengan "Common European Framework of Reference for Languages" (CEFR) dan Ujian Amali Sains (UAS).

 


(Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid)

Media Baharu