KUANTAN, 6 Februari - Sehingga tahun 2024 peruntukan sebanyak RM920 juta diluluskan bagi menampung keperluan jumlah air terawat yang tinggi di Pahang.
Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) merancang untuk membina tiga loji air baharu di daerah Rompin, Kuantan dan Temerloh.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali berkata, dengan penambahan loji-loji tersebut dijangka akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 250 juta liter air sehari di negeri itu.
Ia juga bagi membaik pulih loji-loji sedia ada seperti di daerah Bera dan Bentong, serta penggantian paip lama hampir semua daerah dalam negeri itu.
"Ini salah satu memang pakej penstrukturan semula di negeri-negeri di Malaysia. Dan dengan perjanjian ini industri bekalan air di Pahang menjadi kewajipan kepada PAAB untuk membangunkan prasarana-prasarana bekalan air di Pahang. Jadi kita akan bekerja dengan rapat sekali dengan PAIP dan kita akan melaksanakan pelan perniagaan PAIP yang diluluskan oleh SPAN," kata Abdul Hadi selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Pasca Banjir PAAB di sini.
Pada majlis itu, PAAB memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk membantu 1,000 penduduk di daerah Kuantan yang terjejas banjir.
Setiap mereka menerima barangan keperluan harian seperti kit pembersihan, bantal, tuala, selimut dan beras.
Selain itu 10 buah institusi yang ditenggami banjir seperti sekolah, rumah anak yatim dan masjid serta surau masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM10,000.