fb fb fb fb fb

Solidariti Palestin, Malaysia bebas daripada sebarang ancaman - KPN

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November- Tiada sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung ugutan atau ancaman kepada negara susulan kelantangan Malaysia menyatakan sokongan kepada Palestin, setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya bagaimanapun masih mengumpul risikan dan maklumat sekiranya terdapat sebarang ancaman sedemikian daripada mana-mana pihak.

"Buat masa ini, ugutan secara terus itu tiada tetapi kita masih mengumpulkan risikan, menentukan keselamatan negara ini pada tahap terbaik," kata Razaruddin kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih di ibu negara.

Pada majlis itu, seramai 538 inspektor pelatih telah menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) selama sembilan bulan bagi melayakkan mereka menjadi pegawai kanan polis.

Berucap pada majlis itu, Tan Sri Razarudin turut menetapkan dua fokus utama yang perlu dipatuhi seluruh warga PDRM bagi memastikan pasukan sentiasa berada pada landasan yang betul.

Antaranya, perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Muhammad Idzam Datuk Jaafar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM