BINTULU, 8 September- Kerjasama masyarakat penting dalam mencegah tingkah laku bunuh diri serta mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan isu tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang memberitahu kesedaran dan sokongan sosial adalah kunci dalam mencegah tingkah laku bunuh diri.
Beliau memberitahu demikian dalam ucapan perasmiannya sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2024 di Bintulu hari ini.
Bertemakan "Mengubah Naratif Mengenai Bunuh Diri", Johnny Pang berkata program seperti itu penting dalam mengubah persepsi masyarakat dan menggalakkan mereka yang terkesan untuk mendapatkan bantuan.
Antara lain, program tersebut bermatlamat meningkatkan kesedaran mengenai tingkah laku bunuh diri serta kepentingan sokongan sosial dalam menjaga kesejahteraan mental masyarakat.
Kali ini, program berkenaan menampilkan beberapa aktiviti, termasuk forum kesedaran mengenai tingkah laku bunuh diri, pameran kesihatan mental dan inisiatif "Wall of Hope", yang membolehkan pengunjung menyampaikan mesej harapan kepada individu yang memerlukan sokongan.
Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia disambut pada 10 September setiap tahun dengan harapan untuk mengurangkan kadar kematian akibat bunuh diri di seluruh dunia.