KUALA LUMPUR 5 Oktober -Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petaling muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun Sekolah-Sekolah Parlimen Lembah Pantai, Piala Datuk Fahmi Fadzil selepas menumpaskan SMK Bangsar 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di padang SMK Seri Pantai, hari ini.
Kejohanan edisi sulung anjuran Kampung Kerinchi Football Club itu mendapat sokongan penuh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Pengerusi Kampung Kerinchi Football Club serta penganjur kejohanan, Muhammad Zulkarnain Maarof melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran dan komitmen semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.
““Insya-Allah kami berharap kejohanan ini akan diteruskan sebagai acara tahunan. Selepas ini mungkin kami akan tambah kategori iaitu Bawah 15 dan Bawah 18 tahun bagi memperluas pembangunan bola sepak di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau turut menyatakan kejohanan tersebut menjadi platform penting mencungkil bakat muda Lembah Pantai yang berpotensi ke pentas lebih tinggi termasuk Liga Super dan skuad kebangsaan.
Sementara itu, dalam aksi perebutan tempat ketiga, SMK Bandaraya menewaskan SMK Seri Pantai 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Juara kejohanan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala pusingan, naib juara menerima RM500 dan plak, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM300 dan RM200 berserta plak.