fb fb fb fb fb

SME Bank sasar capai RM10 bilion pembiayaan lestari menjelang 2030

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyasarkan untuk mencapai RM10 bilion pembiayaan lestari dan RM1 bilion pembiayaan hijau menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, sasaran tersebut bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050.

Untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai, Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 dilancarkan, iaitu pelan tujuh tahun untuk menangani risiko berkaitan iklim, sejajar dengan matlamat kemampanan strategik jangka panjang.

"Jadi kalau kita lihat daripada RM10 bilion yang Datuk Dr Mohammad Hardee maklumkan, setakat ini RM2.8 bilion kita sudah capai. Jadi RM7.2 bilion lagi sampai 2030", katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 Kumpulan SME Bank.

Pelan itu akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif terutamanya Dana Kelestarian sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan kepada bank tersebut menerusi Belanjawan 2025.

Pelan ini merangkumi tiga fasa utama termasuk penyesuaian kawal selia, penyepaduan amalan kelestarian dalam operasi dan peningkatan inisiatif kelestarian untuk impak serta kecekapan maksimum

ROSLINA BINTI DIN