fb fb fb fb fb

SKMM tidak kompromi 'content' provokatif di media sosial

FOTO HIASAN

CYBERJAYA, 29 Mac- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjejaki pemilik akaun media sosial yang membuat kandungan provokatif melampau membabitkan insiden stoking tertera kalimah Allah SWT.

SKMM menegaskan, mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan untuk didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"SKMM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SKMM mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan mengelak daripada menulis komen bersifat provokatif dan 3R iaitu agama, kaum dan raja di media sosial.

Berdasarkan statistik SKMM, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform 'Over The Top' (OTT).

Katanya, sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023, manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sebanyak 27,115 kandungan diturunkan.

Kandungan memudaratkan itu termasuklah ucapan berbaur kebencian, penipuan (scam), penjualan haram, perjudian dan berita palsu.

Jelas SKMM, kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

"Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini," katanya.

SITI AISHAH MD ISA