fb fb fb fb fb

SKMM gesa padam video lelaki diikat, dipukul hingga maut

SKMM

CYBERJAYA, 23 Februari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan video tragedi seorang lelaki dipukul hingga maut di Taman Pelangi Semenyih 2 di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Sekiranya video telah dimuat naik, SKMM menasihatkan pihak itu agar memadamnya dengan kadar segera bagi menghormati keluarga mangsa.

"Perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan penggunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.

"Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan berkaitan insiden terbabit.

Sebarang perkongsian melibatkan video atau kandungan berkaitan mangsa serta pihak terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"SKMM menzahirkan rasa simpati dengan insiden tragis yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, baru-baru ini.

"Video tersebut menunjukkkan kekerasan yang berlaku terhadap seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan," tambahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lima suspek lelaki ditahan reman selama lima hari sehingga 25 Februari ini untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa telah ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dipukul hingga maut.

Ia dikatakan berlaku selepas lelaki berusia 42 tahun terbabit terlibat kemalangan dengan seorang penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

SITI AISHAH MD ISA