fb fb fb fb fb

SK Nanga Budu, Ulu Krian dilanda banjir, sekolah ditutup

Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Budu, Ulu Krian dinaiki air apabila hujan tanpa henti sejak malam tadi

SARATOK, 13 Disember – Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Budu, Ulu Krian di sini ditutup sementara selepas banjir melanda pagi tadi.

Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan bangunan dewan dan Pra-Sekolah dinaiki air setinggi paras dada individu dewasa.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, seramai 26 murid bersama 26 pekerja sekolah dan kakitangan swasta telah dipindahkan ke kawasan selamat.

"Bangunan dewan dan Pra-Sekolah di sekolah tersebut dinaiki air setinggi kira-kira satu meter. Kejadian banjir mula dilaporkan sekitar pukul 7.00 pagi, dengan panggilan kecemasan diterima pada 7.15 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikejarkan ke lokasi untuk memantau situasi dan memastikan keselamatan di kawasan sekolah yang terjejas.

"Setakat pukul 10.00 pagi tadi, paras air dilaporkan terus meningkat.

"Kami sentiasa bersiap siaga untuk memastikan keselamatan semua mangsa terjamin dan akan terus memantau keadaan semasa," kata jurucakap PGO.

Banjir ini adalah kejadian pertama melanda SK Nanga Budu sejak insiden serupa pada 2019.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN