SJKP sasar bantu lebih 100,000 individu miliki rumah tahun ini

FOTO KPKT

KUALA LUMPUR, 21 Januari Kerajaan MADANI komited memperkasakan agenda pemilikan kediaman rakyat melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang kini menyasarkan untuk membantu lebih 100,000 individu memiliki rumah idaman masing-masing menjelang akhir tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SJKP sasar bantu lebih 100,000 individu miliki rumah idaman menjelang akhir tahun ini.
  • Siling jaminan ditambah RM10 bilion bagi 2025, menjadikan keseluruhan RM40 bilion sejak 2008.
  • Skim tumpu B40 dan M40, tawar jaminan hingga RM500,000 serta pembiayaan 120% dan Step-Up Financing.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Kerajaan MADANI telah menambah siling nilai jaminan pembiayaan SJKP sebanyak RM10 bilion pada tahun 2025, mencecah RM40 bilion sejak skim diperkenalkan pada 2008.

Setakat 30 September 2025, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion, sekali gus membantu seramai 97,180 individu memiliki kediaman masing-masing.

“SJKP diperuntukkan khusus kepada golongan B40 dan M40, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja gig, yang majoritinya terdiri daripada golongan muda,” katanya menerusi kenyataan.

Skim ini menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, merangkumi kediaman baharu, ‘subsale’ (sedia ada), dan unit lelongan.

Bagi meringankan beban bayaran pendahuluan, SJKP MADANI turut menawarkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga hartanah.

Selain itu, pembiayaan secara ‘Step-Up Financing’ yang diperkenalkan mulai 2025 membolehkan ansuran bulanan lebih rendah bagi tempoh tiga hingga lima tahun pertama, sebelum meningkat secara berperingkat mengikut jadual yang dipersetujui.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPKT akan mengadakan sesi libat urus dengan Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat bagi menggalakkan penglibatan semua institusi perbankan dalam pelaksanaan skim tersebut.

“KPKT akan terus memantau pelaksanaan skim ini bagi memastikan impak yang maksimum.

“KPKT bukan sekadar menyediakan rumah, malah memastikan sistem pembiayaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya menerusi kenyataan sama.