fb fb fb fb fb

Situasi banjir di Kelantan semakin baik

FOTO FAIL

BACHOK, 8 Disember - Penduduk terjejas banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara sudah (PPS) berkurangan apabila mereka mula dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) setakat pukul 7.00 petang tadi hanya tinggal 809 penduduk melibatkan 258 keluarga masih ditempatkan di empat PPS berbanding 1,175 individu pada 4.00 petang tadi.

"Ini termasuk PPS di SK Gual Tok Deh 436 individu, SMK Baroh Pial 167, SK Gual Periok 136 dan SMK Gual Periok, 70 individu.

"Keadaan cuaca baik hari ini menyebabkan beberapa kawasan yang dinaiki air mulai surut namun beberapa laluan masih lagi ditutup kepada kenderaan termasuk laluan persekutuan dan negeri," menurut info itu.

Antara jalan persekutuan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah di Kg Tersang dan Jalan Tok Deh - Gual Periuk di Kg Tok Deh.

Manakala jalan negeri terlibat ialah Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang di Masjid Padang Licin dan Jalan SK Gual Tok Deh.

Sementara itu, laman sesawang Public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pula melaporkan, bacaan paras air di sungai-sungai utama di Kelantan menunjukkan trend penurunan.

Bagaimanapun, dua sungai iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan Sungai Kelantan di Kuala Besar Kota Bharu masing-masing direkodkan melebihi paras waspada iaitu 2.16 meter dan 1.52 meter.

TETITIA YUSOFF