PASIR MAS, 8 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan dilaporkan sebanyak 785 orang daripada 242 keluarga setakat pukul 12.00 tengah hari yang melibatkan dua jajahan.
Angka itu berkurangan berbanding 2,268 yang direkodkan pada pukul 6.00 pagi tadi. Kesemua mereka masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Tumpat, seramai 717 individu daripada 221 keluarga berlindung di dua PPS. Manakala 68 penduduk terjejas berada di satu PPS iaitu di Pasir Mas.
Dalam pada itu, menurut public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai utama di Kelantan berada di aras melebihi tahap waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan trend penurunan.
Di Perak, setakat 12.00 tengah hari, jumlah penduduk terjejas sedikit berkurangan kepada 121 orang daripada 42 keluarga, berbanding 131 orang yang direkodkan padi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, empat PPS masih beroperasi di tiga daerah.
Di Kinta, 82 penduduk daripada 28 keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu di Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan Sekolah Kebangsaan St. Paul.
Sementara itu di Perak Tengah, 34 penduduk daripada 11 keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang.
Manakala di Manjung, lima penduduk daripada tiga keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4, Segari.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di hampir kesemua daerah di Perak petang nanti kecuali di Bagan Datuk.