fb fb fb fb fb

Siti Dhia Batrisyia ditemukan selamat

Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, pada 2.28 pagi tadi

KUALA LUMPUR, 17 Mac - Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai di sini, pada 2.28 pagi tadi.

Ibu kepada Siti Dhia, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili mengesahkan perkara itu.

Siti Dhia ditemukan anggota polis Dang Wangi pada pukul 2.28 pagi, sebelum dimaklumkan kepada Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, untuk pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, kanak-kanak itu dilapor keluar dari rumah, akibat perselisihan faham.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata setakat ini seramai lapan saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) orang hilang dan siasatan lanjut untuk melengkapkan siasatan sedang dijalankan.

"Pada pukul 1 pagi tadi, kanak-kanak itu dikesan berada di sekitar Taman Sri Rampai. Kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN