KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Sistem transaksi tanpa tunai yang dilaksanakan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara berikutan penularan wabak COVID-19 wajar diteruskan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sistem itu dilihat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan.
"Saya berharap sistem ini dapat diteruskan walaupun kita sudah berada di luar pandemik. Amalan baik ini patut diterapkan, beberapa masalah kecil perlu diselesaikan agar selepas ini pelanggan tak perlu bawa tunai ke kaunter," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita semasa melakukan lawatan mengejut di JPJ Terengganu di sini, hari ini.
JPJ Terengganu satu-satunya JPJ negeri yang menyediakan laluan pantas untuk ibu mengandung, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk terjejas banjir mendapatkan perkhidmatan terus tanpa perlu menunggu giliran.