fb fb fb fb fb

Sistem saraan perkhidmatan awam baharu akan diperjelas, elak kekeliruan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Sepetang Perdana Menteri bersama Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri

REMBAU, 1 Februari - Cadangan pemansuhan pencen bagi ahli politik akan dibincang di peringkat Kabinet dan dibawa ke Parlimen, sebelum sebarang keputusan dilaksana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa sama kaedah bagi sistem saraan perkhidmatan awam baharu juga akan diperjelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam.

Anwar turut mengulangi kenyataan bahawa kajian mengenai sistem saraan tersebut telah lama dikaji.

"Kes untuk memansuhkan sistem pencen penjawat awam saya ingat masa saya Menteri Kewangan pada 1990-an.Kajian supaya kaji semula sebab unjuran dengan jumlah penjawat awam dan unjuran tanggungan pencen dibuat tahun 1990-an dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) cari rekod di Kementerian Kewangan dan tunjukkan keputusan hendak batalkan sistem saraan pencen itu dibuat, dikemukakan tahun 1990-an.

"Nasib baik belum laksana, kalau sudah laksana saudara tidak dapat pencen sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sepetang Perdana Menteri bersama Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri , di sini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN