KUALA LUMPUR, 6 November - Memasuki minggu kelima, persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain bakal membincangkan hala tuju kerajaan berhubung sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) di semua lebuh raya di negara ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kepada Menteri Kerja Raya yang juga ingin tahu usaha kementerian bagi menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya pada sesi soal jawab.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah diambil bagi menangani isu ketidakpadanan kemahiran yang dikenal pasti sebagai faktor utama menghalang keupayaan sumber tenaga kerja untuk beralih kepada negara berpendapatan tinggi.
Pada sesi sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mahu Menteri Ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar Khamis lepas dengan lebih suara bersetuju.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November depan.
Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Oktober lepas melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari mulai 9 Oktober lepas. - BERNAMA