fb fb fb fb fb

Sistem penggiliran Puspakom bakal ditambah Baik – Anthony Loke

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) disaran menambah baik sistem nombor giliran bagi mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan yang dipercayai menerima rasuah sebanyak RM40,000 untuk mendapatkan nombor giliran.

“Sebelum ini, terdapat individu yang boleh memperoleh slot dalam jumlah yang banyak dan ada juga yang menggunakan nombor giliran yang sama tetapi dengan nombor pendaftaran kenderaan yang berlainan,” katanya.

Loke berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada Penumpang KTMB Sempena Aidilfitri di Stesen KL Sentral, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menempatkan anggota penguat kuasa di Puspakom kerana ia memerlukan sumber perkhidmatan yang besar daripada JPJ.

“Perkara ini perlu ditambah baik melalui sistem, bukan dengan menempatkan penguat kuasa di Puspakom. Dalam lawatan kerja saya baru-baru ini, pihak Puspakom telah memaklumkan bahawa sistem tersebut akan dipertingkatkan,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN