fb fb fb fb fb

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 diperluas

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 12 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua kepada 14 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua syarikat terlibat boleh membuat permohonan melalui sistem Mysubsidi Diesel bermula esok.

Beliau berkata, penambahan 23 jenis kenderaan barangan itu dibuat berdasarkan kerjasama dengan beberapa kementerian bertanggungjawab khususnya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian.

Sebelum ini, hanya sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan yang terlibat menerusi SKDS 2.0 pada Mac lalu.

"Pengangkutan ini terkait dengan perkhidmatan sedia ada daripada segi pengangkutan awam dan barangan keperluan rakyat khususnya produk akhir.

"Ia akan membantu mengurangkan kesan kepada rakyat dan kita perlu merangkumkan jenis-jenis kenderaan ini dalam SDS," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Armizan berkata, kenderaan itu membabitkan lori rigid, lori katering makanan, lori rigid (pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van) dan lori rigid (kombinasi).

Beliau berkata, kenderaan lain termasuk bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan dan lori rigid (sampah).

Syarikat yang telah mendapat kelulusan turut dinasihatkan agar terus membuat permohonan kad fleet melalui syarikat-syarikat minyak pilihan mereka.

"Kebimbangan kita adalah apabila kelulusan diberi kepada syarikat, mereka ini tidak memohon kad fleet daripada syarikat minyak.

"Syarikat minyak ini memerlukan masa antara tiga ke empat minggu untuk mengeluarkan kad fleet berkenaan," katanya.

SKDS 1.0 dilaksanakan sejak 2013 membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

SITI AISHAH MD ISA