fb fb fb fb fb

Siri Jelajah Bicara Keluarga Malaysia, eratkan pemimpin dengan rakyat



MELAKA, 30 Januari- Kementerian Komunikasi dan Multimedia bakal menganjurkan Siri Jelajah Bicara Keluarga Malaysia di seluruh negara bagi memperkukuhkan libat urus antara kerajaan dan pemimpin dengan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata siri jelajah berkenaan merupakan tambahan kepada pendekatan Program Bicara Naratif dan Program Inklusif di RTM.

"Inisiatif ini berupaya memberi ruang kepada pemimpin menjelaskan isu semasa secara lebih cepat kepada masyarakat, selain rakyat berpeluang mengetengahkan pendapat dan cadangan.

"Menurut saya, dengan ketelusan dan keterbukaan ini merupakan perkara yang sangat perlu, dalam masa sama merupakan libat urus yang baik dan diharap dapat dilaksanakan secara berterusan," jelasnya selepas sesi Bicara Keluarga Malaysia di Jabatan Penyiaran Malaysia Melaka.

Hadir sama Ketua Pengarah RTM, Datuk Che Roslan Che Daud.

Menerusi sesi townhall tadi, beliau turut menjelaskan kejayaan konsep Keluarga Malaysia hari ini adalah kerana kerjasama erat daripada rakyat.

Justeru, beliau meminta rakyat untuk terus menerima Pelan Pemulihan Negara terutama berkaitan vaksinasi COVID-19 bagi mengelakkan peningkatan wabak berkenaan.

Media Baharu