fb fb fb fb fb

Sindiket tipu kerja: Pastikan kesahihan tawaran

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Rakyat diminta memastikan kesahihan tawaran pekerjaan di luar negara bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sindiket tidak bertanggungjawab.

Ini termasuk menyemak laman sesawang syarikat dan mengesahkan dengan kedutaan Malaysia di negara terlibat bagi mendapatkan status syarikat berkenaan.

Penegasan itu disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

"Kalau zaman sebelum ini, kita tidak fikir wujudnya sindiket yang berafiliasi dengan pemerdagangan manusia. Bila pembongkaran ini wujud, semua rakyat Malaysia perlu rasa prihatin dan siap siaga. Perkara ini wujud dan memang benar. Jadi perlu buat semakan dan berhati-hati khususnya bagi negara yang berisiko seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.

"Kemboja dan Laos, kita mempunyai reaksi yang lebih positif daripada kerajaan mereka yang membantu untuk rakyat Malaysia pulang ke Malaysia. Malangnya, apa yang berlaku di Myanmar, tidak begitu positif kerana kerajaan Myanmar tidak mempunyai kawalan di kawasan terbabit seperti KK Garden, Myawaddy dan Tachileik.

"Jadi sindiket ini mengambil kesempatan untuk meletakkan mangsa dan pekerja rakyat Malaysia di kawasan yang kerajaan Myanmar sendiri tidak mempunyai kawalan untuk masuk," kata Hishamuddin ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini.

(Datuk Hishamuddin berkata Pastikan kesahihan tawaran pekerjaan di luar negara bagi
mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sindiket tidak bertanggungjawab)

Walaupun menghadapi situasi ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, masyarakat diingatkan agar tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan bekerja di luar negara meskipun menjanjikan tawaran gaji mengikut matawang dolar yang kelihatan menguntungkan.

Menurutnya, setakat ini NGO itu telah membawa pulang seramai 23 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan 20 mangsa lagi dalam proses rundingan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Media Baharu