KUALA LUMPUR, 26 November- Seorang pengurus syarikat percetakan didenda RM7,600 atas dua pertuduhan menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Majistret Farah Azura Mohd Said, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hui Pooi Long, 47 tahun, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkenaan dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Hui didakwa menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah yang dikeluarkan KDN di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan pada pukul 11.50 pagi, 7 Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Mohd Amin Azhar Qairil Yusoff manakala Hui tidak diwakili peguam.