fb fb fb fb fb

Siling runtuh: Klinik Kesihatan Kepala Batas ditutup sementara

Klinik Kesihatan Kepala Batas Kedah ditutup sementara waktu mulai hari ini/Foto Facebook

KEPALA BATAS, 30 September – Klinik Kesihatan Kepala Batas Kedah yang baru sahaja mula beroperasi pada akhir Mei 2024 terpaksa ditutup sementara bermula hari ini selepas kejadian siling runtuh di bangunan klinik berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi RTM hari ini.

"Ya betul, kami akan keluarkan kenyataan media dan untuk isu teknikal, rasanya baik rujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebab bangunan ini masih di bawah pemantauan JKR," katanya.

Semalam, klinik kesihatan itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan klinik itu ditutup sementara waktu.

"Atas faktor keselamatan, Klinik Kesihatan Kepala Batas ditutup sementara waktu sehingga diberitahu untuk memberi laluan kepada pihak JKR untuk melakukan pemeriksaan .

"Semua pesakit yang mempunyai temu janji akan dihubungi untuk makluman lanjut," menurutnya.

Klinik Kesihatan Kepala Batas telah siap sepenuhnya pada 29 Februari 2024, dua bulan lebih awal daripada jadual.

Klinik mula beroperasi pada 26 Mei, menggantikan klinik kesihatan lama, yang tidak lagi mampu menampung keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

Klinik baharu yang beroperasi selama 4 bulan ini menawarkan 27 skop perkhidmatan, merangkumi pelbagai aspek kesihatan termasuk perkhidmatan pesakit luar dan rawatan penyakit kronik, serta beberapa perkhidmatan baharu.

Antara perkhidmatan baharu yang disediakan termasuk klinik maya dan perkhidmatan rehabilitasi.

GRACE AISYAH KEDAYAN