Sikap ikhlas jururawat sentuh hati Menteri Kesihatan

Foto Facebook, Dr Dzulkefly Ahmad

BUTTERWORTH, 25 Januari -Sikap ikhlas seorang jururawat menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India mendapat perhatian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jururawat Nur Deena diberi pengiktirafan oleh Menteri Kesihatan atas tindakan ikhlas menyuap pesakit warga emas.
  • Tindakan itu disifatkan sebagai contoh empati dan kasih sayang yang turut menyumbang kepada penyembuhan pesakit.
  • Momen tersebut menjadi inspirasi nasional, menghidupkan semangat perpaduan dan nilai murni dalam kalangan warga kesihatan.

Jururawat berkenaan, Nur Deena Nadzhiefa, telah diberi pengiktirafan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly ketika beliau mengadakan kunjungan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sempena majlis perasmian bangunan baharu hospital itu, semalam.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, video berkenaan benar-benar menjentik perasaan dan mendorong beliau untuk bertemu sendiri dengan jururawat itu.

“Hari ini, di perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, saya bertemu sendiri dengan tuan empunya badan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan.

Beliau berkata sikap Nur Deena membuktikan penyembuhan di hospital bukan sahaja bergantung kepada pil atau suntikan, tetapi juga lahir daripada layanan penuh empati dan kasih sayang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena kerana menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugas seharian dan berharap nilai-nilai murni yang ditonjolkan itu dapat menjadi inspirasi dan contoh kepada seluruh warga kesihatan.

“Terima kasih saudari Deena, kerana menghidupkan jiwa ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Semoga menjadi inspirasi buat kita semua,” katanya.

Baru-baru ini, tular menerusi media sosial rakaman momen seorang jururawat menyuap makanan menggunakan tangan kepada seorang pesakit berbangsa India di sebuah hospital.

Rakaman berdurasi 41 saat itu meruntun jiwa ramai dengan warganet memuji sikap jururawat tersebut dan menyatakan rasa terharu dengan keikhlasan dan empatinya dalam mengurus pesakit meskipun berbeza agama.