fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN 2025, manfaat untuk ekonomi negara - PM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar semua pihak dapat memanfaatkan segala peluang yang ada sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dipengerusikan oleh Malaysia.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ia bagi memastikan semua negeri dapat menikmati limpahan manfaat daripada sidang kemuncak berkenaan.

"Jemaah menteri juga ada membincangkan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia menjelang 2025. Antara perkara yang dibincangkan termasuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai lokasi yang ada di seluruh negara untuk memastikan limpahan daripada acara itu mendatangkan manfaat ekonomi kepada seluruh negara bukan hanya kepada beberapa negeri."

"Jadi, ini akan menjadi salah satu perkara yang diteliti oleh Kementerian Luar dan juga sekretariat yang akan menguruskan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan," kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan, di sini.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kesemua jemaah menteri meneliti, meluncurkan dan terbabit dalam pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Jelasnya, Perdana Menteri sendiri sudah menyaksikan pelaksanaan program berkenaan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

"Perdana Menteri juga telah meminta agar negeri-negeri meneliti serta meluncurkan dan terlibat sama dalam pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)."

"Ini bagi memastikan jemaah menteri dan seterusnya ahli parlimen dapat mengenal pasti serta memahami aspek-aspek dalam pelaksanaan Program SARA ini, agar dapat dijelaskan lebih kepada rakyat serta memanfaatkan kawasan parlimen masing-masing," tambah Fahmi.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menambah, jemaah menteri turut dimaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai program 'fleet card' diesel bagi sektor pengangkutan akan dilaksanakan mulai esok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM