fb fb fb fb fb

Sidang GCC-ASEAN julung kali di Malaysia Mei ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan replika cek kepada Imam Tua Masjid At-Taqwa Mukim Beris Pak Pura, Bachok Ahmad Suhaimi Idris (kiri) bagi menyiapkan pembinaan masjid sempena Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Pantai Irama hari ini / BERNAMA

BACHOK, 12 April- Malaysia bakal mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–ASEAN yang dijadual berlangsung penghujung Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang dua tahun sekali itu akan menghimpunkan ketua-ketua negara dari enam negara Teluk, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain, bersama pemimpin-pemimpin ASEAN.

Katanya, China turut dijemput sebagai pemerhati, dengan kehadiran Perdana Menterinya, Li Qiang dijangka memeriahkan sidang bersejarah itu.

“Ini kali pertama Malaysia jadi tuan rumah sidang GCC-ASEAN. Alhamdulillah, hasil kestabilan politik dan dasar ekonomi yang inklusif, negara kita diberi kepercayaan menganjurkan pertemuan penting ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Terdahulu, media melaporkan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut di Kuala Lumpur.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengesahkan kehadiran Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud ke sidang berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE