KUALA LUMPUR, 10 Disember - Siasatan forensik termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang giat dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu kenyataan berkata menerusi mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), laporan polis akan dibuat sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada eleman jenayah komersial.
"Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan kerana Perkeso tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara," katanya.
Butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.
Perkeso akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa dengan panduan daripada MKN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan serta amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi anasir penggodam.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata Perkeso telah mengambil empat langkah utama dalam menghadapi serangan siber yang dikesan bermula sekitar pukul 7.00 malam, Sabtu lalu.
Beliau berkata ia merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP), pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) Perkeso, melakukan siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.