Siasat dakwaan rasuah jika ada bukti, elak menghukum awal

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Nurul Hidayah Banting, hari ini. / Foto BERNAMA

BANTING, 20 Februari – Prinsip kerajaan kekal konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri tekankan setiap dakwaan salah laku perlu disiasat secara telus dan terbuka.
  • Jangan buat tuduhan melulu atau menghukum sebelum ada penyiasatan dan bukti lengkap.
  • Jika bukti wujud, tindakan pendakwaan harus diambil mengikut proses undang-undang.
  • Seru orang ramai elak terpengaruh budaya tuduh-menuduh, terutama semasa Ramadan.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata setiap dakwaan perlu disiasat secara telus dan terbuka.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya tuduh-menuduh tanpa bukti, terutama dalam bulan Ramadan yang seharusnya dimanfaatkan untuk ibadat, memperkukuh silaturahim dan bermaafan.

“Jadi sekarang kita dengar, bagi ruang untuk siasat, jangan ada tuduhan melulu dalam bulan Ramadan. Kita buat sebaiknya, kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti salah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.

“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat bersama hampir seribu jemaah di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi menafikan beliau terlibat dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion berkaitan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya, dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.