PONTIAN, 13 Februari- Siaran radio RTM menerusi media sosial melakar rekod baharu apabila meraih 34 juta pendengar bulan lalu.
Jumlah itu meningkat ketara, berbanding 14 juta pendengar Disember tahun lalu.
Pengarah Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata, aplikasi RTM Klik menjadi platform terbaik untuk pendengar mendengar radio-radio RTM di mana sahaja.
"Radio RTM adalah yang terutama dan terunggul jadi kita perlu pastikan 34 stesen ini terus mengungguli penyiaran radio di Malaysia dan luar negara kerana kita ada media sosial dan RTM Klik yang boleh didengari dan ditonton di mana sahaja"katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Radio Sedunia 2024 di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, Pontian hari ini.
Siaran MuzikFM juga dilancarkan semula bagi mengukuhkan lagi radio-radio kendalian RTM.