KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Satu rangka kerja baharu akan diperkenal bertujuan menambah baik kecekapan proses dan prosedur bagi urusan perniagaan dan pelaburan, selain mereformasi struktur yang mewajibkan kerajaan melakukan semakan secara berkala agar lebih kompeten dan berdaya saing.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ia dinamakan Siap Niaga dan dijadual diluncurkan Perdana Menteri pada Oktober depan.
"Ada keperluan untuk kita memastikan bahawa komitmen dan tanggungjawab kerajaan iaitu jabatan-jabatan kerajaan untuk sentiasa kekal dalam satu parameter yang telah ditetapkan supaya kita memastikan sebarang prosedur proses baru yang diperkenalkan itu tidak membebankan perniagaan.
"Itu akan melibatkan kerajaan mengenal pasti akta, pekeliling dan garis panduan yang memerlukan semakan segera selaras dengan perkembangan ekosistem perniagaan dan pelaburan", katanya pada sesi Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai isu melibatkan golongan peniaga.
Pelaksanaan Siap Niaga akan membantu mengimbangi keperluan kerajaan mengawal selia kepentingan perniagaan tanpa memperlahankan operasi berkenaan.
Ia akan dimudahcara oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).
Rangka kerja itu akan dibentang ke Majlis Tindakan Ekonomi Isnin depan sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.