fb fb fb fb fb

SHMMP Aidilfitri, KPDN Kedah pantau harga barang kawalan

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin

SUNGAI PETANI, 8 April- Pemeriksaan dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di lokasi-lokasi strategik sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 bermula 5 April hingga 19 April ini.    

Antara lokasi terlibat adalah pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah barangan keperluan perayaan.
 
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
 
Beliau berkata, sebanyak 22 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut.  
 
Antaranya, daging lembu tempatan, tomato, cili merah, bawang besar merah import, bawang kuning besar, bawang putih, kubis bulat import dan halia.
 
"Kita memberi amaran kepada semua peniaga-peniaga ini agar mematuhi SHMMP dan seperti saya katakan tadi, pegawai penguat kuasa akan sentiasa memantau harga yang telah kita tentukan. Setiap harga boleh disemak di laman web," kata Muhammad Nizam kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini.
 
Pada sidang media sama, beliau berkata pihaknya menerima sebanyak 10 aduan bekalan minyak masak bagi tempoh 12 Mac hingga semalam.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak tiga aduan masing-masing diterima dari kawasan Alor Setar, Sungai Petani dan Baling, sementara satu aduan di Kulim.

Bagaimanapun, hanya tiga aduan diambil tindakan membabitkan kesalahan menyembunyikan barang kawalan, menjual minyak masak melebihi harga ditetapkan dan pembelian bersyarat.   

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM