PUTRAJAYA, 19 Mac- Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 melibatkan 26 barangan akan berkuat kuasa pada 24 Mac hingga 7 April depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata SHMMP yang berlangsung selama 15 hari itu telah menambah empat barang keperluan lain iaitu bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan.
"Kita perlu juga masukkan santan dalam SHMMP Aidilfitri 2025 sebagai persediaan menjelang Syawal walaupun bekalan agak stabil.
"Mahu adatu tidak mahu, kita telah berunding agar memasukkan santan dalam senarai berkenaan. Alhamdulillah pihak-pihak berkenaan akhirnya bersetuju dengan perkara itu supaya santan ini dimasukkan dalam skim tersebut selain kelapa biji dan kelapa parut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfiitri 2025 di sini.
Sebelum ini harga maksimum runcit bagi santan ialah RM22 sekilogram, dan 15 hari ini akan dikawal pada harga RM17.50 sekilogram di Semenanjung, Labuan (RM15), Sabah (RM12) dan Sarawak (RM9).
Antara 26 barangan lain termasuk bawah skim ini ialah daging lembu tempatan, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering keriting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.