
KUALA LUMPUR, 8 Februari – Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat berperanan sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan dalam memastikan dasar serta agenda negara diterjemah secara jelas, tepat dan berintegriti kepada rakyat.
- Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat bertindak sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan, menjelaskan dasar kepada rakyat dengan jelas dan integriti.
- Mereka adalah jambatan antara kerajaan dan masyarakat, memastikan hubungan yang kukuh agar pentadbiran berfungsi demi kepentingan rakyat.
- Perlu sentiasa cakna terhadap serangan maklumat, menyediakan hujah dan justifikasi tegas berasaskan fakta, bukan emosi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan dan rakyat perlu sentiasa didekatkan umpama sebuah jambatan yang kukuh supaya kerajaan dapat terus berfungsi secara berkesan demi kepentingan rakyat.
“Dalam konteks ini, mereka memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara pentadbiran dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat.
Perdana Menteri turut mengingatkan Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat supaya sentiasa cakna dan peka terhadap pelbagai bentuk serangan dengan menyediakan hujah serta justifikasi yang tegas.
“Saya mengingatkan hadirin untuk cakna dan peka akan pelbagai bentuk serangan yang cuba digerakkan dengan menyediakan hujah serta justifikasi yang tegas kerana negara ini harus tertegak dengan fakta, bukan sentimen yang merosakkan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.