fb fb fb fb fb

Setahun beroperasi, mini galeri Petronas PAPK dapat sambutan ramai

Penolong Pustakawan PAPK, Nik Dzuhaniff Nik Dazuki

KEMAMAN, 25 November- Selepas setahun diwujudkan, galeri mini yang menyampaikan maklumat berkaitan industri minyak dan gas, Petronas Pantai Timur terus mencuri tumpuan para pengunjung di Perpustakaan Awam Pekan Kerteh Kemaman-PAPK.
 
Sejak beroperasi ruangan galeri mini ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai termasuk dalam kalangan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.

Penolong Pustakawan PAPK, Nik Dzuhaniff Nik Dazuki berkata, galeri mini yang terletak di salah satu sudut tingkat satu bangunan ini memulakan operasinya 16 Oktober tahun lepas dan mendapat sambutan memberangsangkan terutama pada hari minggu.
 
"Dengan adanya mini galeri ini, ia pendedahan yang lebih kepada komuniti setempat bukan sahaja kepada anak-anak remaja tetapi juga kepada golongan ibu bapa.

"Golongan profesional seperti guru-guru dan staff daripada Petronas turut datang ke sini untuk melihat pameran yang disediakan,"katanya.
 
Perkara itu diakui beberapa pengunjung cilik yang ditemui, terutama mereka yang tinggal berdekatan yang menjadikan perpustakaan khususnya sudut galeri ini, sebagai tempat berkumpul dan menimba ilmu selepas waktu persekolahan.

Bangunan PAPK bernilai RM3 juta yang terletak Jalan Bakti Kerteh itu, siap pada tahun 2021 dan mula beroperasi 15 Februari tahun lepas.
 
Manakala waktu operasinya pula bermula pada pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang, kecuali hari Khamis iaitu sehingga satu tengah hari sahaja, dan ditutup pada hari jumaat.

Walaupun baru setahun beroperasi, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program karnival dilaksanakan di bangunan perpustakaan berkenaan, yang mempunyai kawasan perkarangan luas serta ruang tempat letak kenderaan tersusun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE