BIDOR, 22 April – Usaha bagi menyelesaikan isu serangan ulat bungkus di ladang kelapa sawit sekitar Kampung Baru Coldstream telah mula dijalankan sejak beberapa bulan lalu secara berfasa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata buat masa ini hanya tinggal beberapa kawasan sahaja lagi yang belum menjalani proses semburan racun bagi membasmi serangga perosak tersebut.
“Sebelum pilihan raya pun mereka sudah mengadu kepada kementerian. Tapi kementerian ini bajet pun terhad. Walau bagaimanapun, ada sedikit peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, jadi kita beri tumpuan kepada pekebun kecil.
"Kalau syarikat besar, mereka boleh belanjakan duit sendiri. Tetapi pekebun kecil ini, bila berlaku penyakit yang kronik, kita akan bantu untuk selesaikan,” katanya selepas sesi perjumpaan bersama jentera dan penduduk setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rahmat dan Jeram Mengkuang, di sini.
Serangan ulat bungkus yang berlarutan selama dua tahun itu melibatkan kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira 2,000 ekar, dan telah menjejaskan lebih 40 peratus hasil tanaman, menyebabkan kerugian besar kepada para pekebun.
Sementara itu, Johari menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ‘menjual calon kepada pengundi’ sebagai strategi kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, berbanding bermain isu politik semata-mata.
“Parti kita, BN ini, kalau kita rasa ada kelemahan, kita baiki. Kemudian, kita perlu ada calon yang berwibawa, calon yang mempunyai rekod prestasi, dan mampu meluangkan masa bersama masyarakat.
"Akhir sekali, kita mesti ada jentera yang mampu bekerja sebagai satu pasukan, tanpa sabotaj. Kalau kita ada calon yang baik, dan jentera yang berkesan, agak sukar untuk kalah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan berkata, strategi tersebut boleh dipraktikkan di mana-mana pilihan raya, sama ada peringkat negeri mahupun pusat, demi memastikan kemenangan calon mewakili BN.
Tambah beliau, keupayaan bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum turut menjadi antara kualiti penting yang perlu ada pada setiap calon, memandangkan Malaysia merupakan negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.