fb fb fb fb fb

Serah memorandum, ABIM dan 58 NGO sokong kepimpinan PM

Setiausaha Agung ABIM, Aliemran Norashid (tengah)

PUTRAJAYA, 24 Januari- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama 58 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum ‘Rakyat Mahu Kerajaan Stabil’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan sokongan padu terhadap Kerajaan Perpaduan.

Memorandum diserahkan oleh Timbalan Presiden ABIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Setiausaha Agung ABIM, Aliemran Norashid berkata mereka mahu kerajaan yang dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, diberi peluang memimpin negara sehingga tamat penggal.

"Kami mengemukakan memorandum ini untuk menyatakan sokongan ataupun menyatakan kebersamaan kepada kerajaan yang sedia ada. Kita sebagai rakyat, kita mahu kerajaan ini terus stabil sehingga ke beberapa tahun yang akan datang," kata Aliemran Norashid kepada pemberita, di sini.

Tambahnya, memorandum itu juga telah di e-melkan kepada ahli parlimen.

Antara lain, memorandum tersebut turut menyatakan bahawa majoriti rakyat mahukan pentadbiran kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi, di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

Selain itu, ia turut mencadangkan mekanisme perundangan yang dapat mengekalkan pentadbiran kerajaan dipilih rakyat sehingga tamat penggal seperti penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap diwujudkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM